Soalan:
Assalamualaikum... wrt. Saya ingin bertanya berkenaan memberi salam atau senyum kepada perempuan/lelaki. Apa yang banyak berlaku, mereka tidak bertegur sapa/memberi salam malah ada yang mengelakkan diri dari bertembung kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Hendak beri salam pun tidak kena dan hendak senyum pun tidak kena kerana takut dianggap terlebih dalam pergaulan atau menimbulkan salah faham. Saya pernah terjumpa hadith yang mengatakan Rasulullah saw memberikan salam kepada wanita-wanita semasa di pasar (tidak pasti di mana). Jadi apakah ini membolehkan kita memberi salam atau senyum kepada kaum yang berlainan jenis?
Jawab:
Memang banyak ulamak yang berfahaman begini dan menyebarkan kefahaman bahawa wanita adalah sumber segala kejahatan; dengan sebab Hawalah maka Adam digelincirkan daripada syurga dan senyuman dan pandangan wanita adalah panah-panah iblis yang meruntuhkan iman para lelaki.
Kesemua pandangan ini adalah tertolak dan bercanggah dengan ruh Al Qur'an dan assunah. Dalil-dalil, nas dan hujah mereka dalam hal ini adalah lemah dan mereka telah tersalah dalam memahami maksud sebenar hadis-hadis yang memberi amaran tentang bahaya dan fitnah wanita. Wanita yang dicela ialah wanita yang menjadi agen penggoda lelaki, atau wanita yang membenarkan dirinya dieksploit dan mengeksploit kaum lelaki dengan batang tubuhnya.
Manakala wanita yang beriman dan beramal soleh adalah pembantu kaum lelaki dan pergaulan serta percampuran mereka adalah tidak dicela oleh syara' jika mereka menjaga adab dan susila yang telah ditetapkan.
Ijma' fuqaha' berpendapat muka dan dua tapak tangan wanita adalah bukan aurat. Begitu juga suara wanita juga bukan aurat. Fuqaha' juga telah ijma' bahawa wanita boleh keluar rumah untuk urusan ilmu, pekerjaaan, politik dan pentadbiran negara, dakwah dan jihad termasuk perang sabil (Qardhawi, fatwa mu'asirat). Ini bermakna wanita akan bermu'amalat dengan lelaki semasa di tempat ilmu, pusat pengajian tinggi, di gedung-gedung dan pejabat serta di pasar-pasar, begitu juga sama-sama membuat sumbangan dalam dakwah dan jihad.
Oleh kerana mukanya bukan aurat, suaranya bukan aurat dan wanita juga harus keluar rumah, bermakna hukum memberi salam, bertegur sapa dan senyum persahabatan dan perkenalan juga meliputi kaum wanita. Tidak ada satu nas dari Al-Qur'an dan AsSunah yang melarang secara qat'iy misalnya, jangan engkau memberi salam kepada wanita; atau jangan engkau bertegur sapa dengan wanita; atau jangan engkau memandang wanita, atau jangan engkau memberi senyum kepada wanita. Jika ada larangan khusus, ia ditujukan kepada ummahatul mukminin (isteri Nabi saw) memandangkan mereka adalah first ladies bagi ummat.
Oleh kerana tiada nas yang khusus melarang, bermakna hukum memberi salam, senyuman dan bercampur-gaul dalam batas yang ma'aruf adalah tidak ditegah. Yang ditegah ialah bila ia berlebihan dan didorong oleh hawa nafsu.