Wednesday, December 7, 2016

Membeli Syurga Dengan Harta

Selain menghadiri pengajian di surau dan masjid, saya juga ada ke kelas pengajian yang diadakan di rumah-rumah persendirian yang diwakafkan oleh hamba-hamba Allah yang berhati mulia untuk dijadikan pusat pengajian.

Mereka menginfakkan rumah mereka untuk  penuntut-penuntut ilmu yang cintakan  ilmu. Pagi, petang siang dan malam rumah itu tidak pernah sunyi dari suara pelajar dan tenaga pengajar melantunkan kalam suci Allah.

Dalam hati saya kagum dengan pemilik pemilik rumah itu. Untuk memiliki sebuah rumah di bandar P ini harganya boleh mencecah jutaan ringgit. Sudah barang pasti pemiliknya mempunyai lebih dari cukup kemampuan sehingga mampu mewakafkan kediaman menjadi madrasah tempat orang ramai menuntut ilmu.

Dalam diam saya menyimpan niat dan hasrat untuk melakukan perkara yang sama. Walau sendiripun mengakui, yang rumah sendiripun belum mampu untuk dimiliki. Tapi kita pasang hajat dan niat. Allah itu Maha Mendengar. Yakinlah. Bersangka baiklah dengan Allah.

Kita pernah dengar, wang harta dan kekayaan tak boleh bawa masuk kubur. Semakin kaya seseorang semakin lambat hisabnya. Harta dan kekayaan tidak dapat menjamin ke syurga. Tapi ianya mampu menjadi tiket ke syurga sekiranya digunakan di jalan Allah s.w.t.

Ya kita boleh beli syurga dengan kekayaan. Dengan syarat kita gunakan kekayaan dengan sebaik-baiknya. Zakat, infak dan sedekah. Bercita-citalah untuk jadi kaya. Bukan untuk dipandang gah manusia atau untuk bermegah di mata dunia tapi untuk pelaburan yang menguntungkan di akhirat kelak.

Kaya atau miskin bukan pengukur dan neraca ke mana kita di akhirat nanti. Di syurga atau neraka. Bahagia atau sengsara. Yang menjadi penentu destinasi kita di akhirat nanti adalah taqwa.

Tidak apa tidak kaya harta tapi biarlah kaya jiwa. Merasa cukup dan qanaah dengan rezeki yang Allah peruntukkan di dunia ini. Dunia bukan tempat kita menerima segala galanya. Dunia ini tempat ujian. Ada yang kaya. Itu Allah uji bagaimana dia guna kekayaan untuk agama. Apakah dia syukur atau kufur. Ada yang miskin. Juga ujian Allah kepadanya. Samada dia redha atau kufur.

Kedua duanya adalah ujian Allah untuk menguji bagaimana si kaya menguruskan kekayaannya dan si miskin menghadapi kemiskinannya.

Kemiskinan boleh membawa kekufuran bagi orang yang rapuh imannya. Di situ iman diuji. Hati berbolak balik. Sebagai contoh seorang artis yang telah lama berhijrah tiba-tiba muncul kembali di dunia hiburan dengan imej seksi. Bila ditanya katanya itu je yang boleh dia buat untuk menyara hidup.

Ada yang terlibat dalam kancah pelacuran kerana kemiskinan dan paling malang lagi ada yang bunuh diri kerana desakan hidup. wa 'iyya zubillah.

Ya Allah ampunkan kami semua. Jauhkan kami dari kekufuran. Jagalah iman kami. Janganlah Kau bolak balikkan hati kami.

Back to basic. Taqwa. Guru saya pernah berpesan, sekiranya kita berpegang dan beramal dengan Al Quran dan Hadis kita akan selamat. Hari ini berapa ramai orang yang melakukan jenayah atas sebab desakan hidup. Kita mungkin beruntung kerana kita tidak pernah berada di situasi itu. Namun kita tak tahu kehidupan di hadapan bagaimana corak warnanya. Di saat kita diuji nanti,  apakah kita akan kuat sekuat keadaan sebelum diuji?

Ya Allah. . padaMu kami berdoa. Kami memohon dan kami bergantung harap. Jangan Kau beban kami dengan beban yang tak mampu kami pikul. Jangan Kau palingkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk dan hidayah kepada Kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Hanya padaMu kami memohon pertolongan..

Saturday, December 3, 2016

Tanbihul Ghafilin 1

♡Imam Sahl al Tustari berkata;
Tanda mencintai Allah adalah mencintai al Quran dan tanda mencintai al Quran adalah cintakan Nabi. Tanda mencintai Nabi adalah mencintai sunah. Tanda mencintai  sunah adalah mencintai  akhirat. Tanda mencintai akhirat adalah membenci dunia dan tidak mengambilnya sekadar yang diperlukan.

♡Hati kita perlu dipenuhi dengan mencintai Allah. Hanya untuk Allah. Untuk mengenal Allah. (awaluddin makrifatullah)
mengenal Allah dari asma' Allah & sifat-sifatNya

♡minta kepada Allah semua keperluan dan hajat. Sahabat dulu walaupun sekecil-kecil garam minta kepada Allah. Kerana hati mereka telah terpaut kepada Allah dan meletakkan seluruh pengharapan,  keperluan dan kebergantungan kepada Allah.

♡Ikhlas itu ada 3 martabat:-
■kelas ke3:- yakni melakukan sesuatu kerana Allah; dalam hati mengharapkan ganjaran kebaikan untuk duniawi
■kelas ke2:- yakni melakukan ibadah kerana Allah; dalam hati mengharapkan ganjaran ukhrawi
■kelas pertama (1st class):- yakni melakukan sesuatu semata-mata kerana cintakan Allah tanpa memikirkan ganjaran duniawi atau ukhrawi.

Nabi s.a.w berdoa;
"Wahai Allah Kau berkatilah umatku pada awal paginya(ada riwayat pada pagi khamis) . maka apa sahaja yang dilakukan pada waktu pagi adalah barakah. Maka lakukan perkara yang baik-baik seperti berada di tikar solat dari subuh sehingga waktu syuruk dan dhuha, menghadiri kuliah ilmu dan sebagainya. Jangan tidur selepas subuh kerana dikhuatiri ianya akan menutup pintu rezeki dan keberkatan di awal pagi.

■Pengertian tasawuf adalah suci, bersih, kejernihan hati. Ilmu tasawuf mnjadi pelindung diri dan membersihkan hati.
■Tips mustajab doa-banyakkan berzikir & istighfar, selawat nabi dan jaga pemakanan (halalan toyyiban) dan pastikan dari sumber yang halal.
■zikir lahawlawala sebanyak-banyaknya untuk menjemput rezeki
■Cara mengislahkan diri
-mendampingi guru yang mursyid (yang boleh membimbing & kenal mndalam anak-anak muridnya)
-kawan yang baik-tegur jika buat salah.
-melihat kritikan musuh
-melihat penyakit akhlak di sekeliling dan ambil pengajaran.

~kuliah dhuha 20.11.16/kuliah maghrib 21.11.16
Ust. Abd Rahman Harman Shah