Seorang pemecah batu menghabiskan
sepanjang siang di sebuah bukit, bermandi keringat mengerah seluruh kudrat
memecahkan batu-batu pejal. Dia sering mendengus dan mengomel tentang kenaifan
diri sendiri.
Di bawah limpahan terik sinar
matahari yang membakar, sambil memegang penukul besinya dia melihat kepada
matahari dan berkata pada dirinya sendiri, "Malangnya diri ini... Alangkah
baiknya kalau aku dicipta sebagai matahari yang besar, hebat dan tinggi penuh
megah. Boleh melimpahkan cahaya dan membakar sesiapa yang aku suka.
Hatinya terus berbisik sambil melihat kepada
matahari dengan penuh kagum. Sedang dia asyik berfikir, tiba-tiba dia merasa
keadaan menjadi redup dan dingin. Apabila dia mendongakkan kepalanya, dia
melihat ada gumpalan awan besar berwarna gelap sedang menutupi matahari.
"Wah, awan lebih hebat rupanya ! Ia boleh
memadam kekuatan cahaya matahari. "
Dia mula berfikir tentang dirinya
yang malang dan betapa bertuahnya menjadi awan. "Alangkah hebatnya awan
dengan ukurannya seperti raksasa, boleh bergerak ke mana-mana dan mengalahkan
sang mentari," tingkahnya dalam diri.
Matanya leka mengekori awan yang berarak megak
dengan tubuhnya yang besar melitupi segalanya. Tiba-tiba awan tersebut terserak
dan berpecah bila membelah bukit tinggi.
"Wah, bukit rupanya lebih hebat lagi ! Ia
berjaya memecahkan gumpalan awan." Dia mula berfikir untuk menjadi bukit
yang gagah tersegam. "Malangnya diriku ini dan alangkah baik sekiranya aku
menjadi bukit yang berjaya mengalahkan awan dan menumpaskan matahari,"
gerutu hatinya sambil melihat kepada dirinya.
Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang dia tidak
perasan selama ini, mukanya bercahaya, matanya berkaca-kaca: Rupa-rupanya bukit
yang tersegam gagah ini, sebenarnya tewas kepada seorang pemecah batu !
"Dan pemecah batu itu ialah AKU !"
Dengan penuh bertenaga ia melaungkan,
"Aku sebenarnya lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan,
lebih kuat daripada matahari, Aku hanya perlu bersyukur atas apa yang telah
diciptakan Tuhan untukku."
Kemudian dia terus menghentak batu dengan
penuh bangga dan meneruskan kerjanya dengan penuh rasa syukur. Dia tidak lagi
mempedulikan terik matahari dan bebalnya kekerasan batu bukit tersebut.
KONKLUSINYA
Benar, manusia tidak akan melihat
sebarang kebaikan pada dirinya, sekiranya tidak melihat dengan kaca mata
syukur, redha dan qanaah. Sepanjang masa dihabiskan dengan mengagumi orang lain
tetapi memandang rendah kepada diri sendiri. Manusia seperti itu tidak akan
menemui kepuasan dan kedamaian hati selama-lamanya. Sebaliknya letih dan rasa
terbeban kerana menelan rasa terkilan yang berpanjangan.
Justeru, untuk menjadi manusia
hebat, kita tidak perlu jadi orang lain tapi jadilah diri sendiri. Bukalah
kunci air kesyukuran, nescaya ia akan melimpahkan sifat redha dan qanaah
berserta kekuatan sebenar seorang insan. Dalam masa yang sama kita mencari di
manakah kelemahan yang perlu dikenal pasti agar boleh diungkai keluar. Dari
situ kita akan mula meneroka kelebihan yang Allah anugerahkan yang tersembunyi
dalam diri kita.
Yakinilah, bahawa Allah mencipta kita sebagai
makhluk dengan sebaik-baik kejadian !
No comments:
Post a Comment