Monday, December 30, 2013

Menerima Hakikat Tiada Jodoh

Pedih rasanya bila terpaksa menerima hakikat tiada jodoh dengan seseorang yang kita harapkan sebagai teman, sebagai pasangan yang bakal menemani perjalanan kehidupan. Kita harap dia adalah orang itu, kita rasa dialah jawapan kepada doa kita (he's the answer of my prayer), kita rasa dia yang paling sesuai, paling layak, paling baik, dan segala macam paling lagi kepada kita. Tapi hakikatnya tidak, Allah tidak mengizinkan itu. Kita merancang, tapi perancangan Allah adalah lain daripada apa yang kita inginkan.
 
Kita jatuh, terduduk. Menangis. Kecewa. Kita tanya Allah, kenapa? Dalam tanpa sedar kita mungkin marah dan sesal, dalam emosi yang menggila dan dalam jiwa yang kacau kita mungkin mula menyalahkan pertemuan yang terjadi. Atau dengan erti kata lain menyalahkan Tuhan. Kerana keinginan yang tidak dipenuhi, kita rasa tidak adil dan menjadi mangsa keadaan. Kita rasa macam kita ni tak layak untuk ditimpa kesedihan ini. Kita rasa kita tak sepatutnya diberi kekecewaan ini, Dalam tanpa sedar, kita berkata,' Kenapa Kau pertemukan aku dengan dia kalau akhirnya aku yang kecewa'? Ini mungkin dialog kita dengan Tuhan.
 
Egonya kita. Betapa tak sedar dirinya kita. Kita siapa nak minta sekian-sekian benda dekat Tuhan. Tak sedar diri taraf kita hanya hamba, boleh meminta tapi jangan memaksa. Takkan seorang pengemis berani nak membentak-bentak memaksa-maksa seorang raja beri makanan kepada dia, melainkan dia hanya tunduk, merayu, merintih,  nak angkat muka pun tak berani.
 
Kenapa dengan Tuhan, Raja segala raja, kita macam hilang adab. Kita sedap-sedap hati meminta, kemudian bila Allah tak beri, kita putus asa. Kita merajuk. Kita memberontak. Kita kata Allah tak adil.  Kita mula malas nak beribadat, konon tanda memberontak. Macamlah Allah kisah kau nak merajuk pun. Dia tak rugi apa-apa. Hanya hamba-hambaNya saja yang kerap merugikan diri sendiri.

Menerima hakikat tiada jodoh dengan si dia. Memang pedih. Namun kita harus sedar ketentuan Allah mengatasi segalanya. Memang kalau ikut hati, macamana pun kita nak dia jugak, sebab bagi kita dia yang terbaik. Tak mungkin dapat jumpa yang sebaik dia. Padahal pengetahuan kita terbatas. Allah menciptakan semua hambaNya. Allah ciptakan hati kita semua. Allah Maha Tahu kepada siapa hati kita yang selayaknya. Boleh jadi yang kita sangka baik itu, tidak baik bagi kita. Begitu juga sebaliknya. Seperti Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 216:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ianya amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya amat buruk bagi kamu. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.

Dahla. Bangkit. Move on! Tidak ada jodoh dengan dia bukan bererti pengakhiran hidup. Dunia ini bukan seluas daun anggur. Selagi diberi peluang kehidupan, dan selagi diberi nafas dan selagi nadi masih berdenyut, wajib melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah. Banyak lagi tanggungjawab menanti di hadapan. Sudah-sudahlah memburu cinta manusia. Carilah cinta Allah pula.

 

 
 

No comments:

Post a Comment