Menunggu giliran untuk berurusan di Pejabat Imigresen yang memakan masa yang lama. Handphone pula kehabisan bateri. Mujurlah ada majalah Solusi Isu 64 yang saya bawa sekali. Kesian, dah lebih sebulan beli, tapi masih dalam kereta, tak sempat nak baca pun. Saya perasan sibuk, barangkali.
Bismillah, saya buka dan mengharap dapat membaca dengan tenang mengisi senggang masa sementara menanti nombor giliran dipanggil.
Muka surat awalnya pena dari editor bertajuk
"Aku PerlukanMu Kerana Aku MencintaiMu".
Saya petik sedikit bicara hikmah dari pena Ustaz Pahrol;
Amat besar beza antara ungkapan "aku cinta kamu kerana memerlukanMu" dengan "aku perlukan kamu kerana aku mencintaiMu".
Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya; cinta yang ikhlas. Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan pula mencintaiNya hanya kerana kita memerlukanNya.
Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, miskin atau sakit, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlak. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik masalah selesai, apa yang dihajati tercapai, dia kembali kufur, lalai dan derhaka.
Ibadah orang sebegini sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya, dia alpa. Sebaliknya, jika yang diminta tak kunjung tiba dia kecewa, marah dan putus asa.
"Mengapa Tuhan tidak perkenankan doaku?"
"Mengapa setelah lama berbuat baik keadaanku masih begini?"
Dia seakan-akan mendesak, bahkan memaksa dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajat. Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia ialah peminta yang ego.
(Peminta yang ego? Tidak layak! Sungguh tidak layak!)
Allah berfirman: "Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi bakhil. Apabila ia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah, dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir." (Surah al Ma'arij 70:19-21)
Jangan, jangan begitu.
Tulisan dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi sebiji-sebiji saya baca dan saya hadam. Dari satu perkataan ke satu perkataan. Saya telan liur. Macam terkena di batang hidung sendiri. Tepat-tepat.
Ya Allah.. Ya Allah..
La ila ha illa anta, Subhanakainni kuntuminazzolimin..
Saya termenung.
Apakah saya juga pernah atau masih lagi atau sedang lagi berciri-ciri begini? Ikhlaskah amalan saya selama ini? Apakah amalan-amalan saya ini ada hidden agenda tersendiri? Apakah penerimaanMu Tuhan? Jujur, saya pernah terdetik di hati, pernah melemparkan persoalan-persoalan tidak sedar diri sebegitu.
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri. Ampunkanlah aku.. ampunkan aku Wahai Tuhan.
No comments:
Post a Comment