Wednesday, December 7, 2016

Membeli Syurga Dengan Harta

Selain menghadiri pengajian di surau dan masjid, saya juga ada ke kelas pengajian yang diadakan di rumah-rumah persendirian yang diwakafkan oleh hamba-hamba Allah yang berhati mulia untuk dijadikan pusat pengajian.

Mereka menginfakkan rumah mereka untuk  penuntut-penuntut ilmu yang cintakan  ilmu. Pagi, petang siang dan malam rumah itu tidak pernah sunyi dari suara pelajar dan tenaga pengajar melantunkan kalam suci Allah.

Dalam hati saya kagum dengan pemilik pemilik rumah itu. Untuk memiliki sebuah rumah di bandar P ini harganya boleh mencecah jutaan ringgit. Sudah barang pasti pemiliknya mempunyai lebih dari cukup kemampuan sehingga mampu mewakafkan kediaman menjadi madrasah tempat orang ramai menuntut ilmu.

Dalam diam saya menyimpan niat dan hasrat untuk melakukan perkara yang sama. Walau sendiripun mengakui, yang rumah sendiripun belum mampu untuk dimiliki. Tapi kita pasang hajat dan niat. Allah itu Maha Mendengar. Yakinlah. Bersangka baiklah dengan Allah.

Kita pernah dengar, wang harta dan kekayaan tak boleh bawa masuk kubur. Semakin kaya seseorang semakin lambat hisabnya. Harta dan kekayaan tidak dapat menjamin ke syurga. Tapi ianya mampu menjadi tiket ke syurga sekiranya digunakan di jalan Allah s.w.t.

Ya kita boleh beli syurga dengan kekayaan. Dengan syarat kita gunakan kekayaan dengan sebaik-baiknya. Zakat, infak dan sedekah. Bercita-citalah untuk jadi kaya. Bukan untuk dipandang gah manusia atau untuk bermegah di mata dunia tapi untuk pelaburan yang menguntungkan di akhirat kelak.

Kaya atau miskin bukan pengukur dan neraca ke mana kita di akhirat nanti. Di syurga atau neraka. Bahagia atau sengsara. Yang menjadi penentu destinasi kita di akhirat nanti adalah taqwa.

Tidak apa tidak kaya harta tapi biarlah kaya jiwa. Merasa cukup dan qanaah dengan rezeki yang Allah peruntukkan di dunia ini. Dunia bukan tempat kita menerima segala galanya. Dunia ini tempat ujian. Ada yang kaya. Itu Allah uji bagaimana dia guna kekayaan untuk agama. Apakah dia syukur atau kufur. Ada yang miskin. Juga ujian Allah kepadanya. Samada dia redha atau kufur.

Kedua duanya adalah ujian Allah untuk menguji bagaimana si kaya menguruskan kekayaannya dan si miskin menghadapi kemiskinannya.

Kemiskinan boleh membawa kekufuran bagi orang yang rapuh imannya. Di situ iman diuji. Hati berbolak balik. Sebagai contoh seorang artis yang telah lama berhijrah tiba-tiba muncul kembali di dunia hiburan dengan imej seksi. Bila ditanya katanya itu je yang boleh dia buat untuk menyara hidup.

Ada yang terlibat dalam kancah pelacuran kerana kemiskinan dan paling malang lagi ada yang bunuh diri kerana desakan hidup. wa 'iyya zubillah.

Ya Allah ampunkan kami semua. Jauhkan kami dari kekufuran. Jagalah iman kami. Janganlah Kau bolak balikkan hati kami.

Back to basic. Taqwa. Guru saya pernah berpesan, sekiranya kita berpegang dan beramal dengan Al Quran dan Hadis kita akan selamat. Hari ini berapa ramai orang yang melakukan jenayah atas sebab desakan hidup. Kita mungkin beruntung kerana kita tidak pernah berada di situasi itu. Namun kita tak tahu kehidupan di hadapan bagaimana corak warnanya. Di saat kita diuji nanti,  apakah kita akan kuat sekuat keadaan sebelum diuji?

Ya Allah. . padaMu kami berdoa. Kami memohon dan kami bergantung harap. Jangan Kau beban kami dengan beban yang tak mampu kami pikul. Jangan Kau palingkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk dan hidayah kepada Kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Hanya padaMu kami memohon pertolongan..

Saturday, December 3, 2016

Tanbihul Ghafilin 1

♡Imam Sahl al Tustari berkata;
Tanda mencintai Allah adalah mencintai al Quran dan tanda mencintai al Quran adalah cintakan Nabi. Tanda mencintai Nabi adalah mencintai sunah. Tanda mencintai  sunah adalah mencintai  akhirat. Tanda mencintai akhirat adalah membenci dunia dan tidak mengambilnya sekadar yang diperlukan.

♡Hati kita perlu dipenuhi dengan mencintai Allah. Hanya untuk Allah. Untuk mengenal Allah. (awaluddin makrifatullah)
mengenal Allah dari asma' Allah & sifat-sifatNya

♡minta kepada Allah semua keperluan dan hajat. Sahabat dulu walaupun sekecil-kecil garam minta kepada Allah. Kerana hati mereka telah terpaut kepada Allah dan meletakkan seluruh pengharapan,  keperluan dan kebergantungan kepada Allah.

♡Ikhlas itu ada 3 martabat:-
■kelas ke3:- yakni melakukan sesuatu kerana Allah; dalam hati mengharapkan ganjaran kebaikan untuk duniawi
■kelas ke2:- yakni melakukan ibadah kerana Allah; dalam hati mengharapkan ganjaran ukhrawi
■kelas pertama (1st class):- yakni melakukan sesuatu semata-mata kerana cintakan Allah tanpa memikirkan ganjaran duniawi atau ukhrawi.

Nabi s.a.w berdoa;
"Wahai Allah Kau berkatilah umatku pada awal paginya(ada riwayat pada pagi khamis) . maka apa sahaja yang dilakukan pada waktu pagi adalah barakah. Maka lakukan perkara yang baik-baik seperti berada di tikar solat dari subuh sehingga waktu syuruk dan dhuha, menghadiri kuliah ilmu dan sebagainya. Jangan tidur selepas subuh kerana dikhuatiri ianya akan menutup pintu rezeki dan keberkatan di awal pagi.

■Pengertian tasawuf adalah suci, bersih, kejernihan hati. Ilmu tasawuf mnjadi pelindung diri dan membersihkan hati.
■Tips mustajab doa-banyakkan berzikir & istighfar, selawat nabi dan jaga pemakanan (halalan toyyiban) dan pastikan dari sumber yang halal.
■zikir lahawlawala sebanyak-banyaknya untuk menjemput rezeki
■Cara mengislahkan diri
-mendampingi guru yang mursyid (yang boleh membimbing & kenal mndalam anak-anak muridnya)
-kawan yang baik-tegur jika buat salah.
-melihat kritikan musuh
-melihat penyakit akhlak di sekeliling dan ambil pengajaran.

~kuliah dhuha 20.11.16/kuliah maghrib 21.11.16
Ust. Abd Rahman Harman Shah

Monday, October 17, 2016

Al Hikam

6: Pengertian doa:
Janganlah karena kelambatan masa pemberian tuhan kepada kamu, padahal Kamu telah bersungguh-sungguh berdoa, membuat kamu berputus asa, sebab Allah menjamin untuk menerima semua doa, menurut apa yang dipilih-nya untuk kamu, tidak menurut kehendak kamu, dan pada waktu yang ditentukannya, Tidak pada waktu yang kamu tentukan.

Kitab AlHikam

Ibn 'Ata Allah al-Iskandari

Senarai Kesyukuran

Surah An-Nahl  Ayat 18:

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. {16:18}

Dalam satu sesi Seminar Pengurusan Stress dan Emosi, penceramah bertanya kepada audiensnya,
"Apa yang buat tuan puan stress dalam hidup ni"?

Antara jawapan yang kedengaran adalah;
-Saya stress dengan kerja
-Saya stress sebab anak-anak tak dengar cakap
-Saya stress dengan bos
-Saya stress dengan kawan kawan
-Saya stress bila anak menangis

Tiba kepada seorang gadis yang cantik, gadis itu menjawab penuh yakin;
-Alhamdulillah saya takde stress dalam hidup saya. Saya tak stress dengan bos. Bos adalah kawan baik saya. Profesional dan serius ketika kerja, dalam masa sama boleh menjadi sahabat baik saya.
-Alhamdulillah saya tak stress dengan kawan-kawan,  mereka semua baik dengan saya. Dan saya yakin kalau kita baik dengan orang,  orang akan baik dengan kita. Jika kita bersangka baik dengan orang,  orang akan bersangka baik dengan kita.
-Alhamdulillah saya tak stress dengan suami dan anak-anak sebab saya masih belum punya mereka dalam hidup saya. Saya tak ada orang nak marah-marah, nak membebel-bebel dan nak berleter. Rumah saya kemas tanpa kecah. Saya tak perlu mengemas barang mainan bersepah. Saya tak perlu basuh baju banyak banyak. Tak perlu basuh kencing berak anak.  Saya tak perlu letih balik rumah berkejaran di dapur memasak untuk suami dan anak anak. Saya tak perlu kelamkabut mandi sebab anak kecil mengetuk-ngetuk pintu bilik air. Saya tak perlu kelamkabut solat sebab anak kecil menangis kuat inginkan perhatian saya.
Tidur saya cukup. Tak ada drama pagi-pagi anak menangis bila dikejutkan untuk ke taska. Pagi saya tenang.  Saya boleh bangun awal dan beribadah dengan tenang tanpa gangguan.
Saya boleh ke tempat kerja dengan mood yang baik. Tanpa emosi dengan anak menangis atau buat perangai di pagi hari.

Pergh..
Wanita dan ibu, jangan emosi pula ye bila baca ni.

Buat yang masih bujang,
Jadikan perkongsian ini sebagai motivasi.

Bukan 'stand in denial'
Tapi sebagai suntikan semangat.

Banyak si bujang yang merasa diri sangat fragile.
Sensitif bila melibatkan soal bila nak kahwin.. bila nak kahwin..

Ya benar. Menjadi seorang yang punya suami, punya anak2 itu impian semua wanita.  Itu fitrah.  Untuk melengkapkan hidup.

Namun jika pada ketikanya Allah belum memberikan apa yang kalian inginkan itu berdamailah dengan takdir Tuhan.

Sematkan dalam diri;
Allah sayang aku.

Kerana itu Dia tidak atau belum menghadirkan suami dan anak supaya kita boleh bahagia dan ekselusif denganNya sahaja.

Jadikan dirimu istimewa di sisi TuhanMu.

Ayuh bangkit.

Kahwin atau bujang, ada suami atau tidak, semua itu adalah dengan takdir dan izin Allah.

Berbahagialah dengan bahagian masing-masing.

Berbahagialah dengan watak dan skrip kehidupan masing-masing. 

Sesungguhnya Allah telah mengaturkan yang sebaik-baiknya buat hamba-hambaNya. .

Sunday, September 25, 2016

Cerita Masjid

Ada satu hari ni, saya dan seorang sahabat singgah makan di sebuah restoran lepas habis kuliah.

Lepas makan kami singgah beli barang di minimarket berdekatan. Di depannya Masjid Tuanku Mizan. Orang Putrajaya tahulah minimarket apa tu.

Kemudian kami bergerak balik. Waktu Zuhur dah masuk ni. Tapi kami boleh tak singgah solat di Masjid Tuanku Mizan walaupun telah melewatinya. Panaslah.. berpeluhla.. waktu zuhur panjang lagilaa.. dan macam macam alasan dicipta. Konon nak sampai rumah awal. Boleh solat dan rehat di rumah je.

Untuk balik rumah,  kami melewati sebuah masjid lagi, Masjid Putra. Sahabat saya tanya; nak solat kat masjid ke macamana ni?

''Ngantuklah. Balik solat kat rumah jelah". kata saya dengan selamba.

Sahabat saya tu pun, oklah. Sambil sambil tu berborak dalam kereta saya cakap lama tak pergi Masjid ni, bila entah nak pergi bla bla bla.

Ralit berbual rupanya kami terlepas simpang keluar. Makanya kami kena buat satu pusingan roundabout keliling  depan masjid sekali lagi. Ya Allah!  Rasanya masa masa tu jugak Allah bagi cash kat kami.

Macam Allah cakap; "Kau dah lalu rumah Aku, Kau boleh sombong taknak singgah. Padahal waktu solat dah masuk. Kau boleh buat tak nampak!"

Sungguh saya rasa Allah menempelak saya.

"Kita berhentilah solat kat sini".
Kami sebulat suara membuat keputusan.  Terus. . parking depan masjid. Memang rezeki sangat sebab dapat parking di tengah waktu waktu kemuncak pelawat dan jemaah tengah ramai di waktu waktu begini. Tapi Allah izinkan kami sampai,  parking dengan mudah.

Ya Allah.  Tak ada sesuatu yg terjadi melainkan ianya asbab dari kehendak dan kemahuanMu. Ini sekadar jentikan halus dariMu. Maafkan kami Ya Allah. Sesungguhnya kami ini sering sahaja melupakanMu.. padahal Engkau Terlalu Baik.. Maha Baik dengan kami semua.. sentiasa membuka jalan untuk kami menghampiriMu..

Ya Allah. . ampunkan kami..

Saturday, September 24, 2016

Refleksi.

Ada empat jenis golongan yang berbicara.
Golongan Pertama Bila dia jumpa orang, dia berbicara tentang orang.
Itu mengumpat namanya.

Golongan Kedua Bila jumpa orang, dia berbicara tentang dirinya.
Itu takbur.

Golongan Ketiga Bila berjumpa dengan orang, dia berbicara tentang Allah.
Itu dakwah.

Adapun golongan keempat,  bila dia dengan Allah dia bercerita tentang dirinya.

Iaitulah dia hamba yg berdoa.

Jadi di mana kita dalam antara keempat 2 golongan itu?

Monday, September 12, 2016

Hablumminallah wa hablumminannas

Sesungguhnya.  Setiap sesuatu dalam hidup ini perlu ada keseimbangannya.
Hubungan dengan Allah. Hubungan dengan manusia
Hubungan dengan Pencipta dan hubungan dengan yang dicipta.

Bila kita baik dengan manusia hati akan tenang. Ibadah terasa lapang.

Berurusan dan mengenali ramai manusia dgn kepelbagaian ragamnya.

Dunia ini milik bersama. Allah tak ciptakan semua orang ada dunia masing-masing.  Allah ciptakan semua makhluknya untuk berkongsi kehidupan, saling berinteraksi dan saling bekerjasama.  Memang itu tujuannya.

Setiap seseorang itu Allah hadirkan dalam hidup kita untuk kita belajar kepelbagaian sifat manusia.

Ada yang ego. Kita belajar erti merendah diri.
Ada yang mudah kecil hati. Kita belajar untuk lebih memahami perasaan orang lain.
Ada yang selalu mncabar kesabaran. Kita belajar erti ketabahan.
Ada yang selalu mengguris perasaan. Kita belajar untuk memaafkan.

Betapa mereka adalah tetamu-tetamu yang hadir dalam sepanjang hidup kita untuk mngajar kita erti sebuah kehidupan.

Hubungan kita dengan manusia adalah medan Allah mendidik dan menguji kita..

Bersama ALLAH Tidak Gelisah

Mungkin telah tiba waktunya utk aku belajar apa itu REDHA.
Ya. Memang perit.  Tapi jika itu takdirnya aku harus redha.
Afterall Allah kan tahu apa yang terbaik utk kita?

Dalam hidup, kita sering terluka.
Dan asbab terluka ini selalunya berpunca dari orang yang rapat, orang-orang kita sayang.
Boleh jadi pasangan, kawan kawan, keluarga. .

Pendek katanya manusia sendiri yang melukakan hati manusia.
Bukan haiwan.. bukan pokok.. bunga alam ini.
Tapi manusia itu sendiri.

Semakin banyak mengenali manusia dengan pelbagai ragam.
Yang menjadi ujian kepada hati.
Ujian disakiti,  ujian rasa cemburu, ujian rasa dengki dan sebagainya.

Mungkin lumrah manusia ni. Yg  tak pernah menghargai dan kurang rasa syukur.

Ya amat sikit manusia yg tahu bersyukur.

Di kala bersendiri ingin ramai.
Di kala ramai ingin bersendiri.

Namun.pasti ada di kalangan itu mereka yg benar2 faham.redha.. dan bersyukur dgn setiap takdir yg diaturkan Tuhan kpdNya.

Kala bersendiri dia bersyukur. Kerana di situ ada ruangan utk dia menghamparkan segenap rasa cinta, masa perhatian utk ibadah kpd Rabbnya.

Kala dia dlm ramai, masih juga bersyukur kerana hati masih mengingati Tuhannya, dan keramaian itu mnjadi asbab utk dia lebih dekat kpd penciptanya.

Rasulullah s.a.w bersabda;  'Ajaib sungguh keadaan org mukmin, sesungguhnya setiap urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kpd org yg beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah dia bersyukur. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya' (riwayat Muslim).

Sunday, August 28, 2016

Ittaqillah haitsuma kunta

Surah Al-Hadid Ayat 28: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. {57:28}

Maksud taqwa menurut Saidina Ali bin Abi Talib. r.a:

At taqwa ay al-khauf minal jalil, wa 'amalu bittanzil, warridho bil qolil, wal isti'dad liyaumirrohil
(Taqwa adalah takut kepada Allah al Jalil,  mengamalkan al Quran,  redha dgn yang sedikit dan mempersiapkan diri untuk kematian).

1. Al-khauf minal jalil
iaitu takut kepada Allah yang bersifat keagungan dengan
■ Sentiasa merasakan Allah Maha Melihat. Seperti yang disebutkan dalam Kitab Ihya' Ulumuddin, Allah s.w.t Maha Melihat segala yang dilakukan oleh setiap hambaNya di mana jua hambaNya itu berada. Sehinggakan seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap pekat tetap tidak terlepas dari pengetahuan dan pandangan Allah.
□Maka haruslah sentiasa merasakan Allah memerhatikan kita di mana kita berada sama ada dalam ramai atau ketika keseorangan sehingga kita rasa takut dan segan untuk melakukan maksiat dan kemungkaran.

2. Wa 'amalu bittanzil
iaitu beramal dengan al Quran yang diturunkan dengan
■membaca al Quran;
□memahami makna-biasakan dengan membaca tafsir dan terjemahan al Quran
■beramal dengan isi kandungannya

3.Warridho bil qolil
iaitu redha dengan yang sedikit
□ Bukanlah yang dipandang banyaknya rezeki itu tapi siapa yang memberi rezeki itu
■Tidak berlebih lebihan dalam setiap perkara sehingga boleh membawa mudarat contohnya tidak makan secara berlebihan sehingga boleh mendatangkan penyakit.
□Juga tidak tidur secara berlebihan. Tidur hanyalah mainan mata. Cukup sekadar mendapat kerehatan, bangunlah seawal 3 atau 4pagi dan amalkan tahajud, zikir, membaca al Quran sehingga azan Subuh berkumandang.

4.Wal isti'dad liyaumirrohil
iaitu mempersiapkan diri dengan kematian.
■ Empat perkara yang Allah rahsiakan adalah keredhaan kepada ibadat, kemurkaan kepada sesuatu maksiat, lailatulqadar dan bila ajal seseorang. Jadi persiapkan diri sewajarnya. Beramal sebanyak banyaknya. Jangan sesekali tinggal amalan fardhu, buat amalan sunat seolah olah ianya wajib supaya kita tak menyesal dan rugi di hari akhirat.

(Petikan ceramah Ustaz Dato' Ismail Kamus; Kuliah Dhuha @ Surau an Nur)

Tuesday, August 23, 2016

Cerita Sebiji Cempedak

Suatu hari seorang kawan telah memberikan saya cempedak yang dibawa jauh dari kampungnya di utara. Saya menerima dengan hati terbuka walaupun diketahui kat rumah saya hanya tinggal berdua, macam tak habis je nak makan.

Tiga empat hari juga cempedak itu dalam kotak di dapur rumah. Bau cempedak menusuk hidung. Tapi taklah sekuat bau durian.

Malam hari minggu saya baru ada masa nak belah. Saya ambil pisau dan cuba ingat macam mana nak potong. Ini kali pertama saya belah buah cempedak, apakah akan menjadi? Alah belah cempedak je pun. Takkan tupun susah.

Lalu saya potong sikit. Macam tak berapa lembut. Saya potong lagi sampai terbelah dua. Lepas tu saya rasa macam keliru. Sebab seingat ingat saya kat kampung kalau mak saya belah cempedak tu akan jadi cantik segugus. Saya whatsapp one of my friend;

T______T

okla. ok. first timer memang gini. At least pernah la jugak buat kan. Better late than never ;)

Sunday, August 21, 2016

Cerita Tentang Lipstick

Kuliah dhuha pagi ni di surau An Nur dengan Ustaz Dr Shauqi.
Taffsir surah al Ankabut. kemudian topik isu semasa berkaitan bersempena raya Qurban yang akan mnjelang tiba tak lama lagi.
bicaranya jelas dan mudah difahami.  Tak berubah seperti yang kita tonton di tv dan dengar di radio.

Beberapa perkara yang buat aku terfikir sejenak, Bilamana beliau mengutarakan isu wanita dan make up.
Kita sibuk dengan makanan halal, sumber pendapatan halal, dan segala-galanya kita pastikan nak halal.  Tapi bagi wanita, sejauhmana kita cakna tentang status kehalalan kosmetik yang kita pakai?

Lipstik yang kita pakai contohnya.
sejauhmana kita boleh yakin lipstik yang kita pakai bebas dari sebarang enzim haram.(babi contohnya)

Kajian menunjukkan 11% daripada lipstik yang dipakai wanita akan masuk dalam perut.

Kalau lipstik tu ada unsur babi boleh bayang tak berapa banyak enzim babi yang dah tertelan??

Patutlah doa tak makbul. patutlah hati tak tenang. patutlah blablabla..

So ladies.  Please check it out now.

Wednesday, August 17, 2016

Mendamba satu hari tanpa dosa.

Apakah mungkin?
Setiap pagi azam disemat.
Namun. Aku cuma manusia biasa.  Tak maksum. Mudah tergelincir. Kemudian menyesal.. begitulah berkali kali.

Wahai Allah.. ampunkan aku hambaMu yg terlalu byk melakukan dosa dan kesalahan ini.. berulang kali.. lagi dan lagi..

Aku pernah beberapa kali jatuh cinta dgn manusia.
Dan. Ianya berakhir dgn kekecewaan.
Kini aku telah jatuh cinta padaMu Tuhan.
Janganlah lagi ianya berakhir dengan kekecewaan.

Sungguh aku tak mampu menghadapi kekecewaan itu lagi..

Saturday, August 6, 2016

Wasiat Rasulullah s.a.w kepada para sahabat

1. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya taqwa itu perhiasan bagi semua pekerjaanmu. Hendaklah engkau membaca al Quran dan berzikir mengingati Allah.  Jika kamu berzikir mengingati Allah, sesungguhnya itu adalah zikir (sebutan) namamu di langit & cahaya untukmu di bumi.

2. Hendaklah engkau panjang diamnya, kecuali berkata yang baik. Sesungguhnya diam itu menghalau syaitan daripadamu dan diam itu menolong kamu mengerjakan pekerjaan agamamu.

3. Jangan terlalu banyak ketawa kerana ketawa itu boleh mematikan hati dan menghilangkan cahaya wajahmu.

4. Mujahadah melawan hawa nafsu kerana itu adalah kewalian umatku.

5. Cintai orang miskin, duduk bersama mereka kerana pada hari kiamat, mereka mempunyai darjat yang besar.

6. Pandanglah orang di bawahmu, bukan di atas; itu lebih wajar agar kamu tidak meremehkan nikmat yang Allah berikan kepada kamu.

7. Bersilaturrahimlah dengan kerabatmu, dan berkatalah yang haq, meski kebenaran itu pahit.

8. Tiada akal yang lebih baik daripada tadbir dan tiada warak yang lebik baik daripada menahan diri dari menyakiti orang lain.

~hadis musalsal mahabbbah

Tuesday, July 19, 2016

happy Ramadhan

Allahuakbar.
Sekali tengok macam biasa biasa je.
Dua kali tengok tersenyum aku dibuatnya.

Terima kasih team solusi atas iklan yg kreatif ini.

Friday, July 15, 2016

Nilai 1 detik.

Salam Syawal ke 10,1437H

Alhamdulillah Allah masih panjangkan umur kita untuk terus bernafas dan beribadah kepada Nya. Menikmati segala nikmat kurniaanNya, memberi kebaikan dan manfaat kepada dunia.

Umar Ibn Khatab pernah berkata,
Tiada yang lebih aku cintai di dunia ini yang membuatkan aku ingin hidup lebih lama di dunia yang fana ini melainkan kerana keindahan berjihad di jalan Allah, indahnya qiamulail dan indahnya bertemu sahabat-sahabat seiman.

Memetik kata-kata Imam Al Ghazali, sesungguhnya setiap saat masa seseorang itu sangat berharga. Andai manusia itu tahu, sesaat yg disia siakan begitu sahaja boleh mnjadi punca penyesalan yang bersangatan di akhirat kelak.

Sesaat yang dibiarkan begitu sahaja. tanpa mngigati Allah. Tanpa melakukan perkara bermanfaat untuk agama.  Bila di akhirat nanti sesaat itu akan mnjadi punca penyesalan yang berpanjangan.

Itu baru satu saat.
Kalau satu minit?
1 jam?
1 hari?
Allahuakbar.

Tak terhitung penyesalan dan kerugian..

Nabi s.a.w sentiasa beristighfar sekalipun Baginda seorang yang maksum. Tidak berdosa malah tidak juga terdetik untuk melakukan dosa.  Tapi kita yang biasa biasa ni yang sentiasa melakukan dosa, apakah kita yakin akan ada jaminan dosa kita Allah ampunkan jika tidak dengan taubat dan istighfar padaNya?

Manfaatkan setiap detik waktu, setiap hembusan nafas, dan setiap denyutan nadi kita adalah modal untuk mengumpul sebanyak mana pahala ibadah kepada Allah.  Dalam sentiasa beristighfar, berzikir, bertasbih, bertahmid kepadaNya. Lunakkan hati dan basahkan bibir dengan zikir kepadaNya. Nabi s.a.w dalam tidurnya juga ibadah dan mengingati Allah. Selagi diberi peluang bernafas selagi itu ruang dan peluang terbuka luas untuk melakukan kebaikan. Peluang memburu redha Allah. Jadikan setiap detik dalam mengigati Tuhan. Dalam memberi manfaat kepada agama.

Ya Allah.  Kami tidak kuat. Berikan kami kekuatan. Ampunkan dosa kami. Adakala kami leka.  Adakala kami membuang masa begitu sahaja. Jahiliyah bagi seorang mukmin yang faham kehidupan beragama bukan sekadar melakukan perkara yang terang terangan melalaikan seperti  menonton filem tidak bermanfaat apatah lagi melakukan maksiat dan kemungkaran. Hakikatnya membuang masa dalam keadaan tidak dalam mengigati Tuhan juga adalah salah satu antaranya.

Ya Allah.  Ampunkan kami.
Ampunkan kami.
Ampunkan kami Ya Allah..

Wednesday, June 8, 2016

30 Tahun

Membayar Pinjaman Bertempoh 30 Tahun

30 tahun lamanya tempoh pinjaman yang diberikan. Hari ini aku masih lagi terus meminjam untuk satu tempoh yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Jika dikira kadar faedah bank pasti aku akan diisytiharkan bankrup tidak lama lagi.

Ya Allah... Keluhanku semakin dalam. Sedalamnya rasa kesalku untuk tempoh 30 tahun yang telah berlalu itu. Mengapa aku gagal untuk melunaskan pinjaman itu tanpa dibebani lagi hutang berpanjangan seperti ini. Benar..Dia yang memberi pinjaman itu sedikit pun tidak pernah menyusahkan aku. Tawaran berterusan itu sebenarnya tiada langsung penindasan seperti mana pinjaman lain di dunia fana ini. Namun, aku tetap akan menyesalinya.

Itulah dia pinjaman yang diberikan oleh Allah terhadap umurku sebagai seorang hamba yang wajib patuh dan taat pada suruhannya. Selama 30 tahun berlalu, di dalam umur yang dipinjamkan ini, sedikit pun Allah tidak pernah kejam terhadap diriku. Aku menikmati kehidupan dengan pelbagai keindahan dan kesenangan. Tidak pernah Tuhanku menarik nikmat-nikmat ini, kerana semua orang tahu bahawa Allah adalah dahan yang paling teguh untuk bergantung.

Mendepani 30 tahun yang aku raikan, hati meronta-ronta bertanya pelbagai soalan. Adakah aku telah membayar harga yang sepatutnya kepada pinjaman usia ini..? Benarkah aku telah menanamkan keyakinanku kepada Allah Tuhan Pencipta langit dan bumi..? Setimpalkah apa yang aku lakukan saban hari jika dibandingkan dengan tempoh 30 tahun yang aku miliki selama ini..?

Di mana 30 tahun itu berlalu?

Terkadang aku bungkam apabila mengenang waktu usia yang telah aku habiskan secara sia-sia. Di sudut yang dalam, aku menghamburkan celaan terhadap diri sendiri yang lalai di dalam matlamat hidup sebenar menuju Ilahi. Di waktu remaja, aku hanyut di bawa arus dunia. Sedikit pun tidak terlintas di kotak pemikiran untuk berbakti di jalan Allah.

Tempoh itu cukup lama aku lalui. Aku bagai memetik dedaun di sebatang pohon lalu dibiarkan sahaja terbang ditiup sang angin. Aku hanya memerhatikan sahaja ia berlalu. Begitulah perumpaan hidup seorang hamba seperti aku yang tidak tahu menilai harga sebenar pinjaman usia oleh Allah SWT. Jika ingin dikutip satu-satu dedaun yang berterbangan tadi, pasti aku pula akan tewas.

Ya Allah... Kejamnya hamba-Mu ini terhadap nikmat-Mu. Nikmat kehidupan ini aku rempuh hingga hampir remuk keseluruhannya. Keampunan-Mu aku tagih demi sebuah pengabdian sebenar seorang hamba. Berikanlah sedikti ruang untuk aku bermula semula memanfaatkan nikmat usia ini.

Akan adakah lagi 30 tahun mendatang?

Ya Allah.. Hak usiaku ini mutlak milik-Mu. Aku tidak ingin menjadi pemohon pinjaman kepada-Mu tanpa aku mampu membayarnya. Maka dengan itu Ya Allah, permudahkanlah perjalanan hidup selepas tempoh 30 tahun ini, untuk aku berbakti kepada agama-Mu. Bukakanlah jalan untuk aku melangkah seiring tentera-tentera Islam yang sanggup mati di atas dasar kebenaran Islam.

Ya Allah.. 30 tahun yang berlalu pasti aku gagal membayar harga setimpal. Namun, jika masih ada kesempatan untuk 30 tahun mendatang, Kau cekalkanlah hati ini untuk istiqomah menempuh medan jihad. Berilah petunjuk yang jelas, supaya aku jadikan ia pegangan kukuh seperti pejuang-pejuang Islam yang redha untuk syahid di jalan-Mu.

Ya Allah.. 30 tahun aku merasai kehinaan apabila dahi ini sujud menyembah-Mu. Jangan Kau angkat wajah ini ya Allah, sekiranya aku belum benar-benar tunduk dan patuh terhadap isi kandungan agama-Mu. Aku ingin menjadi penyambung legasi pejuang-pejuang terdahulu yang tidak gentar berhadapan musuh Islam. Walau mungkin tidak aku nikmati lagi 30 tahun mendatang.

Ya Allah.. Jangan sesekali Kau pesongkan hati kecilku ini, setelah Kau beri petunjuk dan jalan untuk tempuhi di medan jihad ini. Kurniakan sebuah kemenangan di dalam perjuangan ini agar aku tidak lagi meratapi kekesalan 30 tahun yang telah berlalu. Namun, jika mata ini tidak sempat melihat kemenangan itu, Kau kurniakanlah anugerah seorang Syuhada' kepadaku. Kerana 30 tahun itu amat berat untuk aku tanggung Ya Allah..

Nukilan rasa di usia 30 tahun

Coretan ini aku nukilkan di saat usiaku melangkaui 30 tahun. Pancaroba dunia banyak menghanyutkan jiwa-jiwa lalai sepanjang tempoh itu. Sedangkan usia ini semakin hampir dengan umur ketika kita hidup kekal di syurga nanti.

Hari ini, aku merasakan bahawa aku tiada apa-apa sumbangan terhadap agama Allah. Selama tempoh dipinjamkan 30 tahun itu, aku tidak menjadi seorang pejuang Islam yang tegar menuntut agama ini dimartabatkan. Pelbagai alasan dan helah untuk aku lari daripadanya.

Cuma yang pasti, hari ini juga aku perlu mula memasang tekad dan iltizam yang tinggi dengan disaksikan oleh Tuhanku sendiri. Aku ingin kekal di dalam jalan dakwah dan jihad Islam. Aku akan melawan segala macam dugaan kehidupan untuk berbakti kepada agama Allah. Semoga azam ini aku dipermudahkan oleh Allah. Agar suatu masa apabila usia 30 tahun ini tidak melanjutkan, aku tidak malu untuk berhadapan dengan-Mu Ya Allah.

Ampunilah aku Ya Allah.. Berilah kekuatan kepadaku Ya Allah.. Kau peliharalah diriku dan ahli keluargaku Ya Allah. Kurniakan kefahaman Islam dan jihad yang sebenar terhadap diriku dan seluruh anggota keluargaku Ya Allah. Jadikanlah kami sekeluarga sebahagian daripada tentera-tentera jihad-Mu Ya Allah.

Sesungguhnya Engkaulah satu-satunya Tuhan yang disembah dan Penguasa terhadap alam semesta. Allahu Akbar..

Credit to Surau Wahbah Al-Zuhaily

Monday, June 6, 2016

1st Ramadhan 1437H

Teringat kuliah dhuha Ustaz Kamal semalam. Seandainya kita direzekikan masuk ke dalam Ramadhan, tanyalah kepada diri,  kenapa Allah pilih kita untuk dapat bertemu Ramadhan lagi kali ini. sedang telah ada antara kita, mungkin kawan2 kita mungkin saudara mara kita telah Allah panggil pulang bertemuNya. dan tak ada peluang lagi untuk bertemu Ramadhan kali ini.

kenapa Allah pilih kita? jawapannya kerana Allah sayang kita dan kerana banyaknya dosa dan kurangnya amalan kita.. Allah bagi peluang kita hidup lagi.. brtemu Ramadhan lagi.. untuk beri peluang dan kesempatan untuk kita meraih maghfirah dan keampunanNya.  juga untuk melipatgandakan usaha dan amal buat bekalan menghadapiNya.

Allahumma balighna Ramadhan. . kita berdoa sebegini semenjak kedatangan rejab lagi.

Dan hari ini saat ini kita bernafas di dalam hari pertama Ramadhan. Sihat, kuat dan selamat. Maka bersyukurlah. Bersyukur kerana Allah kabulkan doa kita,    memperkenankan permintaan kita dengan menyampaikan lagi kita ke bulan Ramadhan.

Maha Suci Engkau Ya Allah.. segala puji bagiMu Ya Allah, Tuhan sekelian alam.

PadaMu kami merafakkan pujian syukur tidak terhingga atas segala nikmat Engkau berikan.

Berikan kami Ya Allah kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan ibadah kepadaMu. Kerana kami sedar inilah waktu dan saat terbaik untuk kami mengejar rahmat, kasih sayang dan keampunanMu.

Ahlan Ya Ramadhan.

Selamat meniti waktu2 dan detik terbaik di dalam madrasah Ramadhan.

Ramadhan Kareem. siiru 'ala barkatillah.

Tuesday, May 17, 2016

Siapakah ibu kanak kanak itu?

Petang itu saya pulang rumah agak lambat. Azan Maghrib telah berkumandang dari saluran radio Ikim dalam kereta. Saya pantas mematikan enjin dan masuk ke dalam lif untuk naik ke rumah.

Di tingkat ground floor lif terbuka. Seorang budak perempuan masuk. Comel budaknya, mengigatkan saya kepada salah seorang cucu seorang nenek yang pernah menjadi guru mengaji saya satu ketika dulu. Entah apa khabar nenek tu sekarang, lama tidak ziarah dia.

Sekilas mata saya memandang kanak2 itu. Dalam hati terasa gusar, kanak2 sekecil ini dibiarkan ibunya naik lif seorang diri di waktu2 senja begini. . what if kalau ada orang lelaki jahat dalam lif? Nauzubillah. . segera saya beristighfar dan mohon perlindungan dari Allah..

Kanak-kanak itu umurnya lebih kurang 7-8 tahun. Bertudung dan mengepit sesuatu yang berbungkus. Fikiran cepat menerka sepertinya dia baru pulang dari mengaji al Quran. Dia pandang saya. Saya pandang dia. Tapi kenapa wajahnya suram dan seperti sedang menahan tangis?

Saya senyum kepada dia. Semakin tersedu sedu dia hampir menangis. 'Kenapa?'Saya tanya dia. Penuh dengan rasa keibuan.

'Mama baling.. sakit. . benjol', kata dia segera sambil menyelak tudung di belakang menunjukkan rambut dan kepalanya.

Saya cuba memegang kepala dia. Tapi belum sempat memeriksa apa2 lif telah berhenti di tingkat rumahnya dan dia bergegas keluar.

Dan saya menutup pintu lif dan naik ke tingkat rumah saya.

Bila dfikir2 balik seram pulak saya jadinya. Anak siapa itu di waktu waktu maghrib begini?

Siapa ibunya yang sanggup baling objek kat kepala anak secomel itu?

Ishkk.. ini realiti ke fantasi ni?

Monday, May 16, 2016

Power bank.

Ketika stranded di sebuah terminal dan bateri telefon aku pula run off, aku cuba nasib bertanya kepada seorang makcik yang duduk di sebelah.

Makcik itu kelihatannya tidaklah makcik sangat. Moden jugaklah kot. But still makcik.

'Ada powerbank tak?', tanya aku sopan.
'ada', jawab dia confident.
cepat cepat dia buka beg dan selongkar barang2 dalam beg dia.
Alhamdulillah,  kata aku. dan dalam hati aku mngutuk diri sendiri, see makcik ni pun ada powerbank kau yang muda remaja ni takde what a shame lahhhh..... 


dia keluarkan dari beg dia..

am feeling wanna cry.

Aku ambil juga walau hati hampir menangis. Tidak mahu mengaibkan dia.  Buat2 guna pastu pulangkan. 


POWER BANK LAH MAKCIK BUKANNYA PEN! 

Bahagia Bukan Milik Orang Cantik Sahaja

Suatu hari saya berbual dengan Puan K.
Puan K bercerita tentang kebaikan suaminya.
Apa yang keluar dari mulutnya kedengaran jujur dan ikhlas betapa dia bersyukur punya suami yang baik. Yang senang diajak ke mana-mana.  Yang menjadi bukan sekadar suami tapi kawan baik.  Yang bersama-sama melayari kehidupan rumahtangga yang bahagia hingga ke usia tua.

Bukan semua wanita bertuah punya suami yang baik.

Termasuk wanita yang cantik sekalipun, tetap juga ada yang tidak bahagia. Ada yang berkahwin kemudian cerai kemudian kahwin lagi kemudian cerai lagi dan sebagainya.

Puan K mungkin tidak secantik artis2 dan model terkenal tapi saya percaya dia lebih bahagia daripada sesetengah wanita yang lebih cantik yang lain.

Kalau sahaja bahagia dan cinta itu eksklusif hanya untuk yang cantik sahaja, pastu itu silap.

Kerana terlalu banyak contoh yang boleh dilihat di depan mata dan di sekeliling kita.

Seorang yang tidak cantik tetap ada jodohnya.
Seorang yang gemuk tetap bahagia mengelek anak kecilnya sambil bergelak ketawa.
Seorang yang berkulit hitam dan kusam masih punya suami yang menyayanginya.

Mereka bahagia dan cukup dengan apa yang dimiliki.

sedangkan, wanita yang cantik belum tentu bahagia. bukan semua tapi pasti saja ada. tidak sedikit yang merana hatinya.cantik itu anugerah tapi boleh jadi ujian dan fitnah. bukan sedikit kes melibatkan kecurangan, ego yang tinggi sehingga berlakunya penceraian. dan bukan sedikit mereka yang akhirnya tidak berpasangan kerana terlalu cantik sehingga takut untuk didampingi.

Apa yang saya pandang di sekeliling cukup untuk menyedarkan diri betapa Allah itu Maha Adil kepada hamba hambaNya. Kurang di situ,  lebih di sini. Bukanlah semua tapi tetap ada.

Sunday, May 15, 2016

Tabayyun

Suatu hari ketika makan semeja dengan kawan-kawan saya terdengar perbualan di hujung-hujung. Dalam tidak mahu pasang telinga, terdengar juga perbualan sipi-sipi.

En A.. Negeri X.. pukul 830 pagi masih breakfast. pukul 9 baru masuk office. . pukul 10 minum pagi lagi.  keluar rehat awal masuk office lambat. Balik awal.

Dalam hati saya mula terdetik prasangka buruk. En A? dia nampak alim kot. macam ustaz2 kot.. tak sangka macam tu perangai dia.

Esok harinya ketika makan semeja kawan-kawan mengulang cerita yang sama. Rupanya begini.

Encik A baru berpindah ke negeri X. Dia maklumkan yang dia terkejut dengan budaya orang di tempat barunya seperti yg diceritakan di atas. saya malas nak ulang anda scroll atas semula kalau nak tau cerita.  

rupanya saya telah bersangka buruk. ya Allah berdosanya saya.

tabayyun.

Sebab itulah pentingnya tabayyun.  selidik dulu sebelum bersangka2.  Boleh jadi fitnah besar jika tersalah sangka. Ini baru situasi kecil biasa terjadi di kalangan masyarakat. Belum lagi yang besar melibatkan fitnah dan maruah.

Astaghfirullah.

PadaMu aku mohon ampun Ya Allah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan~Al Hujurat :6

Friday, March 18, 2016

Ahlul fatrah

Kadang2 aku rasa amazing dengan ilmu ni. Macam, kalau semalam kita belajar sesuatu tu tak kiralah sama ada pelajaran baru atau pelajaran yang kita dah sedia tahu tapi boleh jadi satu refreshing.. seringkali terjadi ayat yang sama atau pelajaran yang sama akan continously kerap kita dengar atau baca atau tonton dalam waktu tu. Macam hari ni, esok dan selang tak lama pastu kau akan dengar lagi. Atau baca lagi atau tonton lagi. Dalam syarahan yang berbeza. Dengan orang yg berbeza tapi isinya sama. Get  what i mean? Ah susah nk explain. Tapi macamtulah. Macamkan. Perasaan perasan aku ni cakap mungkin Allah nak aku faham. Justeru diulang2 ilmu itu secara kerap supaya aku ingat.

Contoh. Malam semalam pentas dakwah dengan tajuk "Audit Dunia dan Audit Akhirat". Kalau tak silap aku lebih kurang tajuknya begitu.  Sangat menarik topik tu. Aku kuatkan semangat menonton sampai habis walaupun mengantuknya bukan main lagi sampai  ada jugakla terlelap lelap sikit. Sebab mulanya pun dah 10.30 mlm. Kadang2 time tu aku dah nak tidur pun.

Cerita pasal audit di padang masyar. Kau jangan ingat dan sibuk sangat dengan audit kat dunia ni je. Audit ssr lah. Audit 5s lah. Audit eksalah. Audit berteguranlah. Dan segala macam audit duniawi. Padahal ada satu audit paling besar paling penting di masyar nanti. Audit akhirat.

Pada ketika itu suratan akan diserahkan. Kalau baik di tangan kanan. Kalau buruk di tangan kiri. Tak ada satu pun terlepas dari catatan. Ustaz mengumpamakan kalau zaman moden sekarang mungkin kita masing2 dengan satu pendrive yg akan merekodkan segala setiap satu perbuatan kita semasa hidup di dunia. Dalam al Quran suratul kahfi; orang-orang kafir berkata;  aduhai celakanya. Kitab apakah ini. Ia tidak meninggalkan sebarang catatan samada yang kecil atau yang besar sekalipun.

Entah macamana situasinya nanti. Masing2 dok kalut dengan rekod amalan sendiri. Ada yang Allah bagi rahmat dipermudahkan hisab. Tak melalui audit yang terlalu terperinci. Cepat je hitungan hisabnya then boleh proceed ke urusan seterusnya dengan gembira. Yang lambat tu yang macam2 tu tahulah kita ada something wrong somewhore.

Macam kita kat airport. Biasanya banyak barang banyak dan lamalah pemeriksaan. Kalau orang tu barang pun tk banyak nak cek apa kan. Cepat je lepasnya.

Kalau macam tu saya taknaklah kaya taknak banyak harta taknak banyak anak pinak taknak hidup lama. Nanti lambat proses kat akhirat. Mungkin kita terfikir begitu. Tapi Betulkah begitu?

Bukan. Allah tak pernah larang hambaNya jadi kaya. Malah kaya itu merupakan jalan seorang hamba untuk mmberi manfaat kepada hamba Allah yang lain. Dengan harta dia boleh infakkan ke jalan Allah. Dengan kaya dia boleh bantu orang susah. Walau pada hakikatnya harta yang dia miliki bukan milik dia. Milik Allah. Cuma Allah salurkan melalui dia untuk dia urus mngikut iman dan kebijaksanaan nya.

Harta yang banyak. Usia yang panjang dan dimanfaatkan dengan amal ibadat dan kebaikan serta memberikan manfaat kepada orang lain. Anak pinak dan zuriat keturunan yang soleh solehah yang dapat membangunkan ummah.. bukankah itu modal besar kita utk dapat membeli syurga Allah?

Maka berdoalah.  Berdoa agar usia kita, harta kita, zuriat keturunan kita mnjadi asbab utk kita masuk syurga, bukan sebaliknya.

Satu hari tu, Nabi bercerita kpd para sahabat. Ada 70000 orang sahaja yang akan masuk syurga tanpa dihisab

70000 sahaja.T____T

Ukasyah lantas mengangkat tangan. "Doakan saya Ya Rasulullah supaya saya dapat menjadi salah seorang daripadanya"

Ukasyah pantas. Kata Nabi, "Ya Ukasayah akan jadi salah seorang dari 70000 itu kerana kepantasannya"

So sekarang. Ada 6999 tempat lagi. Ada ke harapan kita2 ni? Rakyat malaysia pun dah lebih  30juta wei. Ni baru malaysia.
Kalau dunia dah lebih 7 milion kot.

Ada satu doa yang diajarkan untuk kita minta diringankan hisab. mudah mudahan.

"Allahumma hasibni hisaban yasira."-
"Ya Allah hisablah aku dengan hisab yang ringan"

Dan oleh itu setiap tindaktanduk kita harus ingat sentiasa akan direkodkan.  ingat hari penghitungan segala amal. Hisab di yaumul masyar. Nak buat jahat, ingat buku amalan kita. Nak buat maksiat,  ingat nanti apa catatan kat dalam buku kita. Nak menipu, ingat! Nanti semua tu akan di reveal balik di akhirat.  Saat itu mulut tak akan mampu berdusta lagi untuk melepaskan diri.  Setiap anggota akan jadi saksi. Malunya kita. Malunya diri.

"Jenuhnya ustaz. Jadi orang baik ni macam tak best je. Banyaknya yang tak boleh buat." Mungkin ada yang cakap macamtu.

Jangan risau.  Ada hadith memujuk. Genggam ini kuat2.  Gigit ia kuat2 dengan gigi geraham.

Dunia itu penjara orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Melting kan.

So Rileks lah. Thrill kot dapat tahan semua keinginan buat jahat kat dunia. Its called mujahadah... Apa sangat dunia ni kalau nak banding dengan akhirat.  Amat tak berbaloi mngorbankan kebahagiaan akhirat semata2 mngambil keseronokan dunia yg sebentar cuma. Yang seumpama sayap nyamuk sahaja pada nilaian Allah s.w.t.

"Ok saya dah lega dengar tu semua. Tapi Now saya terfikir pulak nasib orang2 yang dakwah tak sampai kat mereka. Macam contoh orang asli kat hutan amazon. Atau orang yang hidup di kawasan jauh dari Islam. Tak ada siapa datang dakwah kat dia. Dia tak tahu apa apa pasal Islam. Apakah mereka akan masuk neraka? Kalau begitu kesian mereka kan ustaz?"

Begini. Dalam quran ada beberapa surah yang menghighlightkan tentang perkara anta sebut di atas. Dalam surah al isra', surah an nisa dan banyak lagi. Allah berfirman,  tidak akan diazab sesuatu kaum sehingga datang padanya rasul yang mmbawa ajaran sedang mereka mengingkarinya.

Orang2 yang tidak tahu tentang Islam kerana tidak sampai dakwah padanya disebut sebagai Ahlul Fitrah. Ianya juga berlaku ketika zaman terputusnya rasul pada satu ketika sebelum diganti dengan rasul lain selepasnya. Pada saat tidak ada rasul itu tidak ada ajaran dan dakwah disampaikan kepada mereka. Justeru mereka terlepas dari azab Allah.

Macam orang zaman batu kan. Aku tak terfikir zaman tu ada orang datang dakwah pada depa.

Dan ya. Tugas kita. Kita kita semua ni yang tahu agama. Walau tak banyak. Tugas kita adalah berdakwah. Berdakwah sedaya mampu. Kalau xmampu masuk ceruk pedalaman berdakwahlah pada jangkauan yang kita mampu. Mungkin boleh dimulakan di tempat kerja kita. Atau di kejiranan. Atau di mana2.  Allah tidak mngira berapa ramai orang yg mampu kau dakwahkan. Allah melihat usaha kau. Semoga dipermudahkan jalan kita semua..

Begitulah.  Tuhan itu Maha Adil.  Setiap orang akan dapat balasan dari apa yang dikerjakan di dunia. Laha ma kasabat wa'alaiha maktasabat.

Jadi kita. Bersyukurlah.  Ikutlah jalan yang lurus yang telah Allah bentangkan kepada kita. Jangan cari yang lain selain dari jalan Islam.  InsyaAllah selamat dunia akhirat.

Ok till then.Wa ilal liqa'

Saturday, February 20, 2016

Cara Rasulullah s.a.w duduk ketika makan

Ketika bersarapan dengan kawan-kawan sepejabat, seorang kawan menegur cara duduk aku yang menyilang kaki. Katanya ada orang beritahu, tak elok duduk bersilang kaki ketika makan. Tak baik untuk sistem penghadaman dan pencernaan.

Aku macam; oh ye ke? Baru kutahu.

Betul. Seorang kawan menyambung pula. Sebab tu Rasulullah saw ketika makan, Baginda duduk macam tahiyat awal. Cumanya paha dinaikkan/ditongkatkan dan duduk di atas kaki kiri.

Korang faham kan macamana?

Oh.  baru kutahu tentang itu.😓

Wednesday, February 17, 2016

I just wonder..

I just wonder,
Why the heck dalam drama2 especially drama melayu selalu ada watak perempuan penggoda yang tak tahu malu?
Akan ada watak perempuan seksi tergedik2 dekat lelaki yang tak sukakan dia pun.
Akan ada watak perempuan yang tak malu rampas suami orang siap ugut suami atau lelaki tu lagi. Atau dengan tak rasa bersalah suruh isteri lelaki yang dia tergila gilakan tu back off.
Aku cuma tertanya2,
Apakah ini realiti yang ingin ditonjolkan dalam masyarakat kita yang nak diterjemahkan dalam bentuk drama fantasi?

Tuesday, January 19, 2016

Belajar dari Ibn Sirin

Waktu bekerja yang penuh dengan pelbagai ragam manusia. Kita makhluk yang  bersosial. Bukan hanya hidup dalam cubicle masing-masing.  Kadang kita trlepas cakap.  Tak dapat lari dari dengar perkataan sia-sia.

Bila malam aku balik.. sendiri aku muhasabah kembali. Putar kembali apa yang aku lakukan hari ini.

Waktu makan tengahari tadi yang riang gembira bersama kawan kawan. Brcerita itu ini. Bergelak tawa bergurau senda. Waktu kerja pun banyak gelak2 jugak. Mcm tak ketahuan bila masa nak seriusnya. Ok adalah time nya. Tapi bila nak compare dengan duit gaji aku terima bulan-bulan apakah setimpal dengan apa yang aku lakukan?

Sungguh.  Allah Maha Pengasih Maha Penyayang.  Allah ya Razaq Ya Ghani. Aku bersyukur dengan segala nikmat, rezeki dan kurniaanNya.

Bila balik dari kerja. Aku tanya pada diri,  apa yang aku lakukan hari ini?

Bila audit diri. .. teringat pula akan dosa aku lakukan hari ni. Dan aku terus mengaudit diri.

Dengan gelak tawa. Dengan tak ketahuannya.

Teringat kisah imam Ibn Sirin.

Dia seorang yg warak dan ceria.

Kita biasa dengar atau lihat seorang alim yang serius. Tawaduk.. tapi sebenarnya ulama ini dgn pelbagai sifat dan wataknya.

Diceritakan Ibn Sirin di sebalik kewarakannya, kefaqihannya, kebijaksanaannya.. beliau juga seorang yang banyak bergurau dan ketawa. Happy go lucky kata mudahnya.

Namun apakah ke "happy-go-lucky"annya buat dia sangat keduniaan sekaligus melupakan akhirat? Bahkan. Sama sekali tidak!

Ummu Abdan mnceritakan, "kami pernah mnginap bersama Muhammad ibn Sirin. Pada waktu malam kamì mendengar tangisannya. Waktu siang, kami mendengar tawanya (Tarikh Baghdad)

Ya. Sebagai manusia yang bersosial pasti kehidupan kita penuh dengan warna warni dan keceriaan nya. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan semua ini kpd kita.  Namun, belajarlah drpd Ibn Sirin.  Keseronokan dunia tidak menenggelamkan dia dlm tangisan pengabdian seorg hamba kpd Tuhannya!

Friday, January 1, 2016

Peribadi yg berzikir

<<🌹Peribadi yang BERZIKIR🌹>>        
🌷Setiap KALAMNYA adalah DAKWAH
🌷Setiap DIAMNYA adalah ZIKIR
🌷Setiap NAFASNYA adalah TASBIH
🌷Setiap PANDANGAN MATANYA adalah RAHMAT
🌷Setiap SUARA TELINGANYA selalu TERJAGA
🌷Setiap FIKIRANNYA adalah BERBAIK SANGKA
🌷Setiap GERAK HATINYA adalah DOA
🌷Setiap SENTUHAN TANGANNYA adalah SEDEKAH
🌷Setiap LANGKAH KAKINYA adalah JIHAD
🌷KEKUATANNYA adalah SILATURAHIM
🌷KESIBUKANNYA adalah ASYIK MEMPERBETULKAN DIRI
🌷KERINDUANNYA adalah TERTEGAKNYA SYARIAT ILAHI.

Hari demi hari berlalu.  Dengan nikmat Allah yang tak putus putus aku nikmati. . Aku bersyukur.  Bersyukur sangat dengan kehidupan hari ini.

Cuma. Aku rasa bersalah.  Sebab belum rasanya dapat jadi hambaNya yg terbaik.

Allah bagi semua nikmat dengan percuma. Tak payah kena bayar pun. Cuma pandai pandailah kita untuk jadi hambaNya yg tau untuk bersyukur.

Kalau kita bekerja dengan kerajaan, dengan orang. Seboleh 2nya kita nak setiap saat detik kita laksanakan kerja dengan amanah. Takut kalau termakan gaji buta. Nak mencari rezeki yang halal lagi berkat maka kita berjaga2.

Begitu juga sebagai hambaAllah.  Hakikatnya kita ni full time pekerja Nya. Sempurnakan ibadah padaNya. Add on dengan amalan2 sunat. Berbakti kepada ibu bapa. Berbuat baik kepada ahli keluarga, kawan kawan dan jiran tetangga. Bersedekah. Memberi manfaat dan kebaikan kepada semua. melakukan amal ma'ruf nahi mungkar. Menyeru kepada kebaikan. Menegakkan dan menjaga agama.

Banyak task nak kena buat ni. Nak masuk syurga bukan senang. Kita mintak syurga. Nak syurga tertinggi lagi. Tapi layakke dengan usaha kita yang sikit sangat ni?.layakke?

Jadinya berdoalah.

Banyakkan berdoa.  Semoga Allah bukakan jalan ke arah kebaikan. Semoga Allah sudi bantu dan bimbing untuk menuju jalan yang membolehkan kita ke syurgaNya.

Bersangka baik juga dengan Allah.  Penting tu. Kena yakinlah.
Allah sayang orang yang bersangka baik denganNya. Tapi kena dengan usahalah. Takkan dengan tanpa apa2. Ikut logik.ibaratnya. Kalau kita nak mak kita sayang kita. Cukup ke dengan hanya bersangka baik? Mesti kena buat baik dengan mak juga. Memang lah mak mana tak sayangkan anaknya. Kita degil macamana pun anak tetap anak. Tetap mak sayang kita jugak.

Kasih sayang Allah betapa besarnya lagi. Allah yang menciptakan manusia dengan penuh kasih sayang. Pemilik cinta kepada cinta. Dah tentu sayang Allah pada hambaNya melebihi sayang seorang ibu kepada anaknya.  Macamana teruk dan jahat hambanya pun tetap dia sebagai hamba kepada TuhanNya.

Tapi janganlah take things for granted pulak. Sebab tu kena berusaha untuk jadi baik. Buat apa yg Dia suruh. Tinggalkan apa yg Dia larang. Allah tidak berhajatkan kita tapi kita yang berhajatkan Dia atas segala perkara. Takkanlah Allah zalim kepada hambaNya yg berusaha untuk kembali.  Untuk dekatkan diri kepadaNya. Yang berusaha untuk jadi baik. Maha Suci Allah dari sifat zalim.

Bersangka baik dan yakinlah kepada Allah.